Wednesday, January 23, 2013

Sekolah tahfiz pilihan ibu bapa




SUARA alunan ayat-ayat suci al-Quran memecah kedinginan suasana pagi di Sekolah Menengah Islam IQKL (IQKL), Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Hanna Farihin Mohd. Fadglullah, 16, juga tidak ketinggalan mengikuti kelas pada hari tersebut. Minat dan cintanya untuk menghafaz al-Quran begitu mendalam.
"Menghafal al-Quran tidak susah kerana saya mempunyai minat yang mendalam. Cara saya menghafal ialah dengan membaca dulu ayat-ayat tersebut, kemudian baca terjemahan sebelum mula menghafalnya," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Hanna.
Sejak memasuki sekolah tahfiz swasta kendalian IQKL Sdn. Bhd. dua tahun lalu, Hanna mula menghafal satu muka surat al-Quran setiap hari. Adakalanya dia mampu menghafal sehingga tujuh muka surat.
Akhirnya dalam tempoh dua tahun tiga bulan, Hanna berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran. Biasanya para pelajar IQKL diberi masa untuk menghafal al-Quran dalam tempoh antara lima tahun bermula dari tingkatan satu hingga lima.
Kecemerlangannya tidak terhenti di situ. Anak kelahiran Rawang itu turut mencatat 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu. Kini, dia menumpukan perhatian terhadap penghafazan bersanad selain mencapai cita-cita menjadi doktor suatu hari nanti.

PARA pelajar wanita tekun menghafaz al-Quran di Akademi Darul-Huffaz, Kajang.


Perubahan
Jika beberapa dekad lalu, pengajian di sekolah tahfiz dipandang sepi segelintir masyarakat, para pelajarnya dianggap tidak mempunyai masa depan cerah dan sukar mendapat pekerjaan terutama dalam bidang profesional kecuali menjadi imam masjid atau tugas-tugas berkaitan agama.
Sekitar tahun 2006, penulis pergi ke sebuah sekolah tahfiz yang terletak dalam sebuah ladang kelapa sawit di Johor Bahru, Johor. Keadaan bangunannya cukup daif, menggunakan air perigi dan bilangan pelajar tidak sampai 10 orang. Kewujudannya mengundang syak wasangka kepada penduduk sekitar. Pengajian hanya berasaskan menghafaz al-Quran semata-mata.
Pelajar-pelajar tahfiz ketika itu dilihat mengutip derma di stesen-stesen minyak atau kawasan tumpuan orang ramai bagi pelbagai tujuan seperti pembiayaan pengajian dan pengurusan tempat tersebut.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, institusi tahfiz atau sekolah tahfiz semakin berkembang. Jika melayari internet, pelbagai sekolah boleh diakses. Ibu bapa pula semakin berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan sehinggakan pihak sekolah terpaksa menolak permohonan kerana kekurangan tempat.
Adakah sekolah tahfiz ini telah mengalami evolusi? Apakah magnet yang menyebabkan sekolah tahfiz menjadi pilihan mereka?
IQKL misalnya, ditubuhkan pada 1997 ketika itu dikenali sebagai Institut Quran Kuala Lumpur dan hanya mempunyai seramai 50 orang pelajar. Kini, ia beroperasi di sebuah bangunan lima tingkat di Pinggir Taman Tun Dr. Ismail dengan pelajar seramai 230 orang.

SUASANA kelas akademik di Sekolah Menengah Islam IQKL.


Sistem pendidikan berteraskan hafazan 30 juzuk al-Quran, namun IQKL menyediakan sistem akademik aliran sains teras berpandukan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Para pelajar belajar sepenuh masa dan tinggal di asrama. Selain itu, terdapat dua makmal untuk kegunaan kelas biologi, kimia dan fizik.
"Visi kami ingin melahirkan golongan hafiz yang faham al-Quran, sahsiah dan akhlak yang baik. Selain itu, kami juga mahu melahirkan golongan profesional yang hafiz.
"Kami juga amat menitikberatkan kualiti pelajar termasuk berkeperibadian yang baik. Sebab itulah, pelajar dilatih melakukan terjemahan al-Quran. Ketika ini, guru-guru kami dalam proses menterjemahkan al-Quran khusus bagi memudahkan para pelajar memahami terjemahan al-Quran.
"Lajnah pentashih kitab tafsir tersebut dilakukan oleh pensyarah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia," kata pengetua IQKL, Nor Azimah Mohd. Ghazali ketika ditemui baru-baru ini.

MESKIPUN sepenuh masa menghafaz al-Quran, para pelajar Akademi Al-Quran Cinta Madinah tetap yakin akan berjaya mencapai cita-cita masing-masing.


Menurut Nor Azimah, IQKL mempunyai tiga Lembaga Pengarah iaitu Tengku Datuk Seri Hamuddin Tengku Othman, Datuk Mohamad Hassan Mukthar Mohd. Ali dan Mohd. Fuzi Ahamad. Ia ditubuhkan bukan berasaskan keuntungan dan turut menaja 25 pelajar anak-anak yatim.
Bagi menjamin kualiti pelajar, syarat-syarat kemasukan juga ketat seperti memperoleh minimum 4A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), perlu menghadiri temuduga, ujian pembacaan al-Quran dan lain-lain.
Dalam pada itu, Akademi Darul-Huffaz yang berpusat di Taman Putra, Kajang pula mempunyai visi menjadi akademi tahfiz dan sains terbaik di dunia dengan melahirkan hafiz-hafiz al-Quran profesional.
"Ia dapat direalisasikan dengan memberi penekanan serius terhadap kanak-kanak dalam pendidikan tahfiz selain memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menghafal al-Quran.
"Kami juga mempunyai matlamat melahirkan bakat-bakat dalam pertandingan Johan Tahfiz Kebangsaan dan Antarabangsa," kata pengasasnya, Lokman Shazly Al-Hafiz Al-Maulawi Zaharin.
Ditubuhkan pada tahun 2007, akademi berkenaan kini mempunyai seramai 120 pelajar yang terbahagi kepada sepenuh dan separuh masa. Mereka berumur antara setahun hingga 60 tahun. Pendidikan akademik berasaskan sains turut diajar di akademi tersebut.

PERMAINAN ping-pong antara aktiviti yang dilakukan pelajar di Akademi Al-Quran Cinta Madinah pada waktu petang.


"Bagi pelajar sekolah rendah dan menengah kami menyediakan akademik berasaskan sains tulen. Tujuannya ialah apabila dewasa kelak mereka dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk ke luar negara dengan pelbagai pilihan kerjaya profesional," katanya.
Menurut Lokman, penubuhan akademi tahfiz sains tersebut juga berbeza daripada konsep sekolah tahfiz konvensional yang sebelum ini banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai.
"Kami mengenakan yuran pengajian pada harga berpatutan, menyediakan asrama, kawasan riadah, makanan dan perkhidmatan dobi kepada para pelajar. Justeru, para pelajar boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian.
"Pelajar mempunyai jadual harian yang ketat termasuk menghafal al-Quran setiap hari yang diselang-selikan dengan pengajian akademik," katanya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2Io4c1DPf 
Hakcipta terpelihara 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...